ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 1997

Ucapan Y.B. Datuk Raymond Tan Shu Kiah
Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah
Di Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan
Pada 18hb. Mei, 1997 - 10:30 Pagi Bertempat
Di Dewan Masyarakat Sandakan

1.          Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan 1997 atas kesudian mereka menjemput saya menghadiri dan seterusnya merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan pada tahun ini.  Saya sangat berbangga berada di Sandakan pada hari ini khususnya bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan merayakan Pesta Kaamatan di Daerah ini pada kali ini.

2.          Setiap tahun kita menyambut dan merayakan Pesta Kaamatan sebagai salah satu pesta rasmi negeri Sabah berbagai acara kebudayaan dan hiburan diadakan untuk merayakan Pesta Kaamatan sebagai simbol kejayaan dan kebanggaan masyarakat kaum tani khususnya kaum kadazandusun atas hasil tuaian pagi mereka pada sesuatu musim

3.          Acara-acara seperti persembahan tarian, magavau, bunyi-bunyian muzik tradisi seperti sompoton, bungkau, suling, tanggunggak dan sebagainya serta penampilan berbagai bentuk dan corak pakaian tradisi, kraftangan, makanan tradisi dan seumpamanya menunjukkan masyarakat kaum tani kaya dengan warisan budaya dan seni tradisi yang begitu menarik.   Dari itu perayaan Pesta Kaamatan bukan sahaja memberi peluang kepada kita semua bersua muka dengan saudara mara dan sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat tetapi perayaan ini membawa kita menghayati seni dan budaya yang kita warisi dari generasi kita yang terdahulu.

4.          Jika kita tidak memelihara dan mengamalkan seni dan budaya yang kita warisi ini sudah tentu generasi akan datang tidak akan dapat mengenali apakah bentuk kebudayaan dan kesenian terutama sekali apa-apa juga jenis kebudayaan atau kesenian yang mungkin sudah mula dilupakan atau tidak lagi banyak ditonjolkan dalam masyarakat kita.

5.          Dalam hubungan ini, ingin saya menyeru kepada semua anggota masyarakat kadazandusun supaya menggunakan Bahasa Kadazandusun dengan seluas-seluaskan sebagia bahasa perhubungan sesama mereka sendiri khususnya antara ibu bapa dengan anak-anak mereka.  Umumnya kita semua sedar bahawa kita lebih banyak menggunakan bahasa-bahasa lain, Bahasa Melayu misalnya, dalam pertuturan kita dengan anak-anak kita.   Tentu tidak ada salahnya kita bercakap dengan anak-anak kita dalam apa juga bahasa yang kita mahu tetapi tentu ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diperbetulkan.  Jika anak-anak kita sendiri tidak pandai, tidak faham atau tidak boleh bertutur dalam bahasa ibudanya sendiri.

6.          Kita tentu berbangga kerana bahawa Kadazandusun akan diajar di beberapa sekolah di negeri Sabah tidak lama lagi.  Malangnya tidak semua sekolah, di mana anak-anak kita bersekolah memperkenalkan bahasa ini.  Oleh itu tugas dan cabaran mengajar anak-anak kita menggunakan bahasa kita sendiri adalah ditanggung dan dipikul oleh ibu bapa sendiri.  Untuk mengorak satu langkah yang lebih konkrit dan menarik, saya suka mencadangkan agar jawatankuasa perayaan Pesta Kaamatan mengadakan pertandingan syarahan, menulis essi atau melukis poster Pesta Kaamatan dalam bahasa kadazandusun pada tahun-tahun yang akan datang.

7.          Saya nyatakan ini semua semata-mata atas kesedaran saya untuk memelihara dan menghidupkan segala bentuk dan unsur-unsur kebudayaan dan kesenian yang ada di negeri Sabah ini.  Sebabnya khazanah budaya dan seni yang kaya dari berbagai suku kaum di negeri ini telah menjadikan negeri ini terkenal dari segi kebudayaan dan kesenian.  Semua perkara ini boleh meningkatkan potensi negeri ini sebagai destinasi pelancongan dan menarik lebih ramai lagi para pelancong datang ke negeri Sabah contohnya pada musim perayaan Pesta Kaamatan ini.  Jika kita dapat mengambil peluang untuk memperkenalkan kraftangan yang berunsurkan Pesta Kaamatan kepada para pelancong asing, saya percaya pulangan ekonomi adalah lumayan.  Ini juga adalah satu langkah untuk mempelbagaikan sumber ekonomi kita.

8.             Sebelum mengundur diri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sandakan kerana telah berjaya mengadakan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sandakan dengan begitu meriah dan hari ini.  Saya percaya kemeriahan ini adalah hasil daripada kerjasama rapat di kalangan Ahli-ahli Jawatankuasa perayaan sendiri, dan ahli-ahli masyarakat yang lainnya.  Saya menyeru agar kerjasama dan perpaduan yang sudah sedia terjalin diteruskan dalam apa juga kegiatan kita setiap masa.

9.          Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sandakan pada hari ini.             "Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan".

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster