ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 1997

Ucapan Perasmian Y.B. Datuk Raymond Tan Shu Kiah
Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah
Di Perpustakaan Desa Kg. Lihak-Lihak Semporna
Pada 24hb. Julai, 1997 - Jam 10:00 Pagi

1.          Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi penghormatan di pagi yang mulia ini bersama-sama hadirin sekalian untuk meraikan majlis perasmian perpustakaan desa Kampung Lihak-Lihak Semporna ini.

2.          Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Hj. Nasir Tun Hj. Sakaran Ahli Dewan Undangan negeri N.48 Sulabayan serta Yang Berhormat Datuk Mohd. Shafie Hj. Apdal Ahli Dewan Rakyat N.164 serta Datin Mariam Abdul Kadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia kerana sudi meluang masa untuk bersama-sama menyaksi perasmian perpustakaan desa ini.

3.          Tahniah juga saya ucapkan khas kepada Pejabat Daerah Semporna dan Perpustakaan Negeri Sabah di atas kerjasama mereka untuk menjayakan pembinaan bangunan perpustakaan desa ini sehingga ke perasmiannya.

4.          Tidak lupa juga saya merakamkan setinggi penghargaan kepada JKK Kampung serta penduduk kampung yang telah bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan perasmian perpustakaan desa ini.

5.             Pewujudan Perpustakaan desa adalah merupakan projek menggalakkan masyarakat setempat membaca di bawah Jawatankuasa Gerakan Membaca yang berurus setia di Perpustakaan Negeri Sabah.  Projek ini adalah usaha Kerajaan untuk membantu rakyat terutama sekali di luar bandar di dalam kegiatan pembacaan.  Selain daripada pewujudan perpustakaan desa, aktiviti lain juga dijalankan oleh Jawatankuasa ini seperti penerbitan cereka kanak-kanak berjudul "Alam itu Mesra" yang telah siap diterbitkan pada awal bulan Disember ini.  Pada tahun ini pula, Jawatankuasa ini akan mengadakan aktiviti Minggu Galakan Membaca Kadazandusun dan menerbit "Profil Biodata Penulis-Penulis Tempatan" di mana buku ini akan memuatkan biodata penulis-penulis tempatan termasuk penulis bahasa Melayu, Kadazandusun dan Cina serta menerbit cerpen remaja berunsurkan motivasi untuk remaja.  Dalam konteks pewujudan perpustakaan desa ini, Jawatankuasa Gerakan Membaca sedang giat merancang menubuhkan perpustakaan desa di seluruh kawasan undangan negeri dengan berpandukan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

6.             Sepertimana yang kita sedia maklum, perpustakaan merupakan pusat menimba pelajaran dan juga sebagai gedung ilmu dan pusat maklumat adalah begitu penting bukan sahaja kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.

7.             Kerajaan Barisan Nasional adalah berazam untuk membangun kawasan-kawasan luarbandar bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam soal ilmu dan pengetahuan.   Dengan hanya mengutamakan pembangunan fizikal tanpa melibatkan proses pembelajaran, maka kita tidak akan mencapai kemajuan.   Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan serta terpelajar.  Ini merupakan faktor yang utama dalam usaha membentuk masyarakat yang maju jaya.

8.          Seperti juga agensi-agensi Kerajaan yang lain, perkhidmatan perpustakaan mempunyai kumpulan-kumpulan sasarannya yang tertentu.  Antara lainnya ialah kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran awalan atau "early education".  Menyedari keperluan ini, perpustakaan haruslah dapat menyediakan bahan-bahan bacaan yang sesuai untuk kanak-kanak di peringkat pra-sekolah dan sebagainya.

9.             Perkhidmatan Perpustakaan dalam negeri ini adalah terbahagi kepada berbagai peringkat daripada peringkat negeri, wilayah, cawangan dan seterusnya.  Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan yang terdapat di sesuatu perpustakaan wilayah adalah berbeza di peringkat cawangan.  Manakala kemudahan-kemudahan yang disediakan di peringkat perpustakaan desa merupakan kemudahan-kemudahan asas sahaja seperti buku-buku, majalah-majalah dan sebagainya, tetapi saya pasti bahawa sesuai dengan perubahan masa, suatu hari nanti pihak perpustakaan negeri terpaksalah menyediakan kemudahan-kemudahan seperti komputer dan lain-lain kelengkapan yang digunakan untuk keperluan semasa.

10.         Kata orang, "kalau menuntut ilmu biarlah ke negeri China".  Ini bererti bahawa proses pendidikan itu tidak terhad kepada batasan umur dan sebagainya.  Perpustakaan adalah memainkan peranan yang utama untuk membolehkan seseorang itu meneruskan usahanya untuk menimba ilmu dan pengetahuan melalui pembacaan buku-buku yang sesuai di samping membolehkan seseorang membuat kaji selidik bagi kegunaan untuk menduduki peperiksaan dan sebagainya.

11.         Selain daripada menyediakan bahan-bahan bacaan, perpustakaan juga mengadakan berbagai aktiviti terutama sekali kepada kanak-kanak dan sebagainya.  Dalam konteks ini, pihak perpustakaan haruslah dapat membantu kanak-kanak untuk melahirkan sikap suka membaca yang baik ataupun "good reading habit" supaya mereka ini sentiasa gemar pada buku-buku dan lain-lain bahan bacaan. Di samping ini, ibu bapa ataupun orang-orang tua haruslah memberikan galakan dan bantuan kepada anak-anak dengan membawa mereka ke perpustakaan seperti juga mereka membawa anak-anak di hari persekolahan yang pertama.  Seperti juga di sekolah, anak-anak yang baru menjejakkan kaki di perpustakaan haruslah ditemani dan diawasi buat sementara waktu sehingga mereka biasa dan mulai menunjukkan minat apabila berdamping dengan buku-buku di perpustakaan.  Saya yakin bahawa apabila minat mereka sudah timbul untuk membaca maka anak-anak kita itu akan sentiasa mengunjungi mana-mana perpustakaan yang berhampiran.

12.         Selain daripada itu, ibu bapa dan juga pihak perpustakaan harus sedar bahawa adalah mustahak untuk mendidik kanak-kanak supaya menjaga buku-buku dengan baik supaya orang lain dapat peluang untuk menikmati bahan-bahan bacaan yang berkenaan supaya kita dapat berkongsi untuk menimba ilmu daripada semua kemudahan yang terdapat dalam perpustakaan oleh sebab perpustakaan itu sebenarnya mempunyai khazanah ilmu dan pengetahuan.

13.         Rakyat masa kini amatlah beruntung kerana Kerajaan mengambil berat dan memandang serius dalam usaha memupuk minat membaca di kalangan masyarakat setempat.  Kerajaan amat prihatin bahawa masyarakat yang membaca serta berilmu pengetahuan adalah masyarakat yang dapat membantu Kerajaan mencapai objektifnya ke arah pembangunan negara.

14.             Masyarakat yang gemar membaca dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dapat menjadi rakyat yang berguna kepada negara.  Kurangnya membaca dan berilmu pengetahuan akan mengakibatkan golongan ini ketinggalan dalam kemajuan ekonomi, mempunyai pendapatan yang rendah, kekurangan kemahiran, terjerumus dalam kemiskinan dan mungkin kurang pengetahuan tentang kesihatan dan sebagainya.   Kerajaan juga tidak mahu melihat rakyatnya hanya membaca satu halaman buku bagi setahun yang pernah dilaporkan di suatu ketika dahulu.   Oleh itu disinilah letaknya tahap atau darjat kemampuan individu yang gemar membaca di samping menentukan mundur ataupun majunya sesuatu negara.  Di samping itu, pengisian agenda pembangunan negara amat memerlukan masyarakat yang progresif dan kreatif.

15.         Dengan wujudnya perpustakaan desa ini dan bahan-bahan yang terdapat ini saya berharap ia dapat mendorong penduduk kampung ini untuk menggunakan bahan-bahan ini dengan sepenuhnya.   Oleh kerana menerusi pembacaan mereka akan dapat membentuk cara-cara kehidupan yang lebih berkesan.  Menerusi pembacaan rakyat akan dapat maklumat dan menambah ilmu pengetahuan yang kemas kini.  Bagi murid-murid sekolah menerusi pembacaan bahan-bahan yang tersedia di perpustakaan desa ini ia akan dapat membantu dalam pelajaran mereka di samping mengalih pandangan mereka daripada kepada gejala-gejala sosial seperti yang dihadapi oleh sebilangan pemuda-pemudi masa kini.   Kita juga berharap agar kegiatan yang murni ini akan dapat meningkatkan lagi sosio-ekonomi mereka selaras dengan matlamat untuk mencapai ke arah negara yang dinamik di masa hadapan mereka.

16.         Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan perpustakaan desa Kampung Lihak-Lihak Semporna ini.

Sekian dan terima kasih.

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster