ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 2000
Tempat:

Kompleks Sukan Sandakan

Tarikh:

24 Ogos 2000 – Jam 2:30 petang

Semasa:

Majlis Perasmian Perbarisan Kadet Remaja Sekolah (Kadet Remaja Sekolah) Peringkat Bahagian Sandakan


Terlebih dahulu saya ingin bersyukur kerana kita dapat bersama-sama pada majlis yang berbahagia pada hari ini.  Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Leftenan Kolonel Kadet Remaja Sekolah, Dr. Yassin bin Haji Amit, Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan kerana sudi mempelawa saya untuk merasmikan acara perbarisan dan pertunjukkan Kadet Remaja Sekolah pada petang ini.  Sebelum ini saya difahamkan bahawa seramai 16 buah Sekolah Menengah Bahagian Sandakan telah terlibat dalam pertandingan Kawad Kadet Remaja Sekolah pada 21hb. Ogos yang lalu dan acara perbarisan dan pertunjukan serta penyampaian hadiah-hadiah pada petang ini merupakan tirai penutup bagi pertandingan tersebut.  Di antara aktiviti-aktiviti yang akan diadakan pada petang ini ialah pemeriksaan perbarisan Pegawai dan Ketua Platun  Kadet Remaja Sekolah, Penyampaian Watikah Perlantikan kepada Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Jurulatih, penyampaian Sijil-sijil Penyertaan serta pertunjukan Kawat Farmasi, Flying Fox, Abseiling dan Repeling.

Sepertimana yang kita sedia maklum, Kadet Remaja Sekolah merupakan salah satu Pasukan Unit Beruniform yang baru ditubuhkan pada tahun lepas.  Namun begitu, pasukan ini merupakan suatu kumpulan yang paling aktif pada masa ini.  Penubuhannya adalah berdasarkan kepada arahan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan tujuan membendung gejala-gejala sosial yang semakin menular di kalangan pelajar.  Ia juga bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah.  Dengan adanya bimbingan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan maka adalah diharapkan bahawa pelajar-pelajar tidak ada lagi masa untuk melepak atau membuat kegiatan-kegiatan yang tidak sihat di luar waktu sekolah.  Menyedari tentang kebaikan aktiviti seperti ini, maka saya difahamkan bahawa Sabah merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai pasukan-pasukan Kadet Remaja Sekolah yang cergas, terutama sekali pasukan Kadet Remaja Bahagian Sandakan.  Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Leftenan Kolonel Kadet Remaja Sekolah Dr. Yassin bin Haji Amit atas daya usaha beliau yang begitu gigih untuk memajukan Pasukan Kadet Remaja Sekolah di Bahagian Sandakan ini.

Justeru itu, besarlah harapan saya agar pasukan Kadet Remaja Sekolah di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Kadet Remaja Sekolah Dr. Yassin bin Haji Amit, akan terus maju ke hadapan dan dapat pula menjayakan aktiviti-aktiviti seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.  Ini amatlah penting oleh kerana pelajar-pelajar berdisiplin pada hari ini merupakan bakal-bakal pemimpin di hari esok, dan negara sememangnya amat memerlukan pemimpin-pemimpin yang sihat, cekap dan berdisiplin untuk mencapai aspirasi dan objektif Wawasan 2020.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ucapkan syabas kepada Dr. yassin bin Hj. Amit, Pegawai pendidikan Bahagian Sandakan yang telah menggerakkan pasukan-pasukan Kadet Remaja Sekolah ini dengan jayanya.  Ucapan syabas dan tahniah juga saya tujukan kepada semua pengetua-pengetua Sekolah Menengah Bahagian Sandakan beserta jurulatih-jurulatih Kadet Remaja Sekolah yang telah memberikan kerjasama dan bertungkus lumus dalam menjayakan program pada hari ini.  Tak lupa juga saya ucapkan syabas kepada semua pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dalam pertandingan kawad Kadet Remaja Sekolah yang telah diadakan baru-baru ini.  Tahniah saya ucapkan kepada pasukan yang telah berjaya menjadi johan dan bagi mereka yagn kurang pencapaian, jangan putus asa, cuba lagi di tahun depan.  Dengan kata-kata yang sedemikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Perbarisan Kadet Remaja Sekolah Bahagian Sandakan pada petang ini. 

Sekian dan terima kasih.

Download pdf format

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster