AKTIVITI Dakwah PERKIS Bahagian Kota Kinabalu
Menyemai Akhlak, Menyambung Silaturrahim Nusantara
Menyemai Akhlak, Menyambung Silaturrahim Nusantara
Kota Kinabalu | 14 Ogos 2025
Oleh: Hajimin Hj Maslin
Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) Bahagian Kota Kinabalu terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin dakwah dan kebajikan di bumi Sabah melalui perancangan teliti beberapa program berimpak tinggi yang dijadualkan berlangsung dalam bulan Ogos ini. Program-program tersebut dirangka dengan penuh hikmah dan harapan agar dapat menyentuh jiwa, menyuburkan akhlak, serta mempertautkan silaturrahim antara umat Islam serantau.DATUK Ts. Mustapha Sakmud rasmikan Ceramah Agama Sempena Majlis Ambang Hari Merdeka di Masjid Tun Ahmadshah, Kg. Inanam Laut, Inanam
Sebagai kesinambungan semangat kebangsaan dan keagamaan, PERKIS Bahagian Kota Kinabalu turut menyokong penganjuran Majlis Ambang Hari Merdeka, yang pada asalnya dirancang pada 20 Ogos 2025, namun telah diselaraskan kepada 18 Ogos 2025 atas pertimbangan tertentu.
Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen P.171 Sepanggar. Antara pengisian program yang dirancang:
- 🌟 Gema Selawat
- 🎁 Penyampaian Sumbangan Bakul Rahmah Asnaf
- 🍛 Jamuan Kenduri Sekampung
Majlis ini diharap bukan sahaja memperingati kemerdekaan negara, tetapi juga menyuburkan semangat ukhuwah, keprihatinan terhadap golongan asnaf, serta menyemai rasa syukur dan cinta tanah air dalam jiwa masyarakat Islam setempat.
FORUM Perdana“Al-Wasliyah Zaman Berzaman: Berdakwah Hingga ke Sabah”
Forum ini dirancang untuk diadakan pada 16 Ogos 2025, jam 6.00 petang, bertempat di Masjid Negeri Sabah. Ia bakal menjadi medan ilmu dan wacana dakwah yang mempertemukan dua tokoh besar dari Indonesia:
- KH Dr Masyhuril Khamis (GAMBAR KANAN)
- Prof Dr Saiful Akhyar Lubis, MA
Forum ini akan dimoderatorkan oleh Datuk Hj Jalidar Abd. Rahim, Pengerusi PERKIS Bahagian Kota Kinabalu. Perbincangan dijangka mengupas sejarah panjang perjuangan dakwah Al-Wasliyah yang merentasi sempadan dan zaman, hingga menjejakkan kaki ke bumi Sabah. Turut disentuh ialah nilai-nilai persaudaraan Islam, pemerkasaan institusi dakwah, serta potensi kerjasama rentas negara dalam memperkukuh risalah Islam yang rahmatan lil ‘alamin.