Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H/2025
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) Bahagian Kota Kinabalu
ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin
kepada seluruh umat Islam.
Semoga Aidilfitri kali ini membawa keberkatan, kebahagiaan, dan kemaafan dalam setiap jiwa.
Semoga ukhuwah terus erat dan nilai kebajikan terus tersemai.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Simbol Perpaduan Kaum di Sabah
Kota Kinabalu: 5 April 2025
Hajimin Hj Maslin
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Sabah pada 5 April 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum. Acara ini menarik lebih daripada 20,000 pengunjung, termasuk pelancong asing, dan turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sumbangan telah disampaikan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), dan asnaf daripada institusi kebajikan di sekitar Pantai Barat Sabah.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, sate, dan kuih-muih raya. Dalam ucapannya, Ketua Menteri menyeru rakyat agar menjadikan sambutan ini sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Berbahagia Ustaz Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah Bahagian Kota Kinabalu. Datuk Haji Jalidar turut mengambil peluang mengabadikan kenangan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) dan Ketua Menteri. Semangat toleransi dan hormat-menghormati yang ditonjolkan sepanjang acara menjadi asas kepada kestabilan serta kekuatan negeri Sabah.









