Seni Islami sebagai Ibadah: Sorotan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-13
MEMBAKUT, 4 Julai 2025
Hajimin H. Maslin
Nadwah Sastera Islam Serantau Sabah sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-13 telah berlangsung dengan penuh semangat keilmuan dan budaya di Dewan Seri Wawasan, Kampung Pimping, Membakut, dengan tema "Persuratan Islam: Kunci Jiwa Rabbani." Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, yang menyatakan harapan agar seni dan sastera Islam terus berkembang seiring dengan nilai-nilai murni dan prinsip syariah.
Sebanyak lima pemakalah utama telah diundang bagi menyampaikan kertas kerja, iaitu: - YBhg. Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim – Ketua PERKIS Bahagian Kota Kinabalu, Sabah, Tuan Haji Sukor Haji Usin – Aktivis dan penggiat sastera Islam dari Sabah, Yang Mulia Profesor Ampuan Dr. Hj Brahim bin Ampuan Haji Tengah – Brunei Darussalam, Yang Berusaha Dr. Mochamad Irfan Hidayatullah – Indonesia, dan YBrs. Encik Abdul Razak Panaemalae – Thailand.Antara inti utama yang diketengahkan dalam nadwah ini ialah pembentangan oleh Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim yang membawakan makalah bertajuk “Seni dalam Pandangan Islam.” Beliau menegaskan bahawa seni tidak boleh dilihat hanya sebagai bentuk hiburan atau ekspresi estetika, sebaliknya harus difahami sebagai medium ibadah yang dapat memartabatkan insan, asalkan dilandasi dengan keimanan dan zikir kepada Allah SWT.
Intisari pembentangan beliau merangkumi:
- Seni Islami sebagai ibadah – Karya seni yang berpaksikan tauhid menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Ilahi.
- Warisan seni dalam peradaban Islam – Dari kaligrafi, seni bina masjid, puisi sufistik, hingga muzik, semuanya mencerminkan keindahan spiritual.
- Kebebasan kreatif berlandaskan iman – Seniman digalakkan berkarya dengan bebas, namun harus berpandukan akidah dan adab Islami.
- Kesatuan antara agama dan budaya – Islam menolak pemisahan antara ibadah ritual dan ekspresi budaya, justeru seni Islami bersifat menyatu dan menyentuh masyarakat.
Nadwah dan Mahrajan ke-13 ini memperlihatkan kerjasama rantau serantau seperti Brunei, Indonesia dan Selatan Thailand dalam memperkukuh jaringan persuratan Islam. Pertemuan ini menjadi medan strategik mengangkat kembali seni dan sastera Islam sebagai instrumen pembentukan masyarakat berbudaya Rabbani.
Dalam ucapannya, Datuk Jalidar turut menyatakan “Keindahan dalam Islam bukan hanya pada bentuk luaran, tetapi juga dalam makna, hati dan niat. Seni yang sejati ialah seni yang membangkitkan ruh dan menundukkan ego kepada Ilahi.”
Acara tahunan ini diiktiraf sebagai platform pengukuhan budaya ilmu dan penyatuan nilai Nusantara menerusi seni yang sarat dengan roh ketuhanan. Para penganjur berharap inisiatif seperti ini akan menyemai minat dalam kalangan generasi muda terhadap warisan budaya Islam yang seimbang antara estetika dan syariah.