Go to content

Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim Hadiri Musyawarah Kerja Nasional Al Washliyah di Indonesia - Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah Bahagian Kota Kinabalu

Skip menu
PERKIS
BAHAGIAN KOTA KINABALU
Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim Hadiri Musyawarah Kerja Nasional Al Washliyah di Indonesia

Jakarta, 27 April 2025
Hajimin h Maslin

Ketua PERKIS Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim, telah menghadiri Musyawarah Kerja Nasional (MUKERNAS) Al Washliyah yang berlangsung dari 24 hingga 27 April 2025 di Jakarta dan Bogor, Indonesia.

Majlis pembukaan acara tersebut telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Rakyat merangkap Ketua MPR Indonesia, Bpk Dr H Ahmad Muzani, pada 25 April 2025 di Jakarta. Sementara itu, majlis penutupan pada 26 April 2025 di Bogor telah disempurnakan oleh Menteri Agama Republik Indonesia.

Acara ini dihadiri oleh 300 peserta perwakilan dari 34 wilayah provinsi seluruh Indonesia. Selain itu, turut hadir perwakilan Al Washliyah dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, London, Thailand, Mesir, Yaman, dan lain-lain. Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim, dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Pengurus Perwakilan Al Washliyah untuk Malaysia, turut berperanan dalam perbincangan penting berkaitan perkembangan Islam dan pergerakan dakwah.

Pada malam penutupan MUKERNAS, yang dirasmikan oleh Menteri Agama Indonesia, Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim diberikan penghormatan untuk membacakan sebuah puisi bertajuk "Menuju Washliyah Gemilang", yang telah beliau siapkan sehari sebelum acara. Puisi tersebut menyentuh perjuangan dai-dai Washliyah dalam menyebarluaskan dakwah Islam, khususnya di Sabah, selama lebih setengah abad.

Sejarah mencatat bahawa pada tahun 1974, seramai 18 orang dai-dai muballigh Al Washliyah dari Medan telah dihantar berkhidmat di Sabah. Kini, hanya empat orang yang masih hidup, sementara 14 orang saudara seangkatan telah berpulang ke rahmatullah.

Majlis penutupan tersebut berlangsung penuh haru dan makna, memperkukuh semangat perjuangan para dai-dai dalam mengangkat martabat Islam melalui gerakan Al Washliyah.
MENUJU WASHLIYAH GEMILANG

Dari tanah Deli Washliyah lahir 30 November 1930
Melakar ruhul Islam
Membina Tarbiyah
Membangun Dakwah
Menyantuni
Fuqara,
Yataama
Wal masakiin.

Dari pesisiran pantai selat Malaka
Hingga merentangi jajaran bukit barisan
Al Washliyah berjuang
Al Washliyah bangkit
Al Washliyah jihad
Melaungkan kalimah syahadatain
Mengajari ummah arti hayya 'alassholah
Hayya 'alal falaah
Allahu akbar
Allahu akbar

Melintasi tanah pegunungan
Antara Balige dan tanah Karo,
Gunung Sibayak dan Sinabung menjadi saksi
Al Washliyah berhati khalis
Kamilah itu pejalan kaki
Dai-dai muda hanya secupak ilmu di dada
Menyatu  membangun ummah
Mengajari saudaraku
Hanya Allahu ahad
Allahus shomad
Lam yalid
Wa lam julad
Wa lam yakun lahu kufuanhu ahad.

Washliyah berjuang hingga ke Sabah
Ayahanda almarhum  Haji Bahrum Djamil  
Menghantar 18 da'i-da'i  washliyah pilihan Sumatera utara,
Setengah abad merentangi nur-nur Ilahi di puncak puncak gunung Kinabalu
Hingga ke pesisiran pantai laut Sulu
Kamilah itu diantara mujahid-mujahid Washliyah
Bagaikan sahabat-sahabat Nabi
Mati di perantauan
4 da'i hanya yang tertinggal
Kami sudah tua
Kami sudah tua
Kami sudah tua
Kami sungguh bahagia
Puluhan ribu ummah ucapkan syahadah
Menjadi ummah Muhammad saw.

Hari ini kitalah itu pewaris
MENUJU WASHLIYAH GEMILANG
gempitakan Al Washliyah
Kibarkan bendera bulan sabit berbintang lima
Dari Sabang hingga Papua
Dari London, Mesir, Thailand hingga ke Malaysia,

MENUJU WASHLIYAH GEMILANG.

Allahu akbar
Allahu akbar
Allahu akbar.

Gedung DPR/MPR pusat,
Senayan, Jakarta, Indonesia.

25 April 2025.

Back to content