Tazkirah oleh Ustaz Jalidar tentang kesabaran di restoran Macik Rina
Kota Kinabalu: 28 Mac 2025
Laporan Hajimin H. Maslin
Pada petang 28 Mac 2025, bertempat di Restoran "Macik Rina Madondong" yang baru dibuka, satu tazkirah penuh makna telah disampaikan oleh Ustaz Datuk Haji Jalidar Abd Rahim, Pengerusi PERKIS Bahagian Kota Kinabalu. Tazkirah tersebut diadakan sebelum acara berbuka puasa bersama lebih daripada 100 orang hadirin.Dalam tazkirahnya, Ustaz Datuk Haji Jalidar mengetengahkan topik sabar, yang dianggap elemen penting dalam kehidupan di dunia ini. Beliau menegaskan bahawa sabar perlu dijadikan teras kehidupan setiap individu, tanpa mengira lapisan masyarakat. Sabar diperlukan di setiap peringkat—di rumah tangga, dalam pergaulan masyarakat, serta dalam hubungan antara pemimpin dan yang dipimpin.
Beliau juga menekankan bahawa salah satu hikmah dan buah ibadah Ramadan ialah melatih diri untuk bersabar. Sabar bukan sahaja bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga bersabar dalam hubungan sosial. Ustaz Jalidar mengingatkan para hadirin tentang ajaran Nabi Muhammad SAW, yang menyeru umatnya agar berkata, "Inni soim" (Sesungguhnya aku sedang berpuasa), sekiranya berhadapan dengan orang yang mengajak bergaduh.
Tazkirah yang sarat dengan pengajaran ini diakhiri dengan bacaan doa selamat dan doa berbuka puasa yang dipimpin oleh Ustaz Jalidar sendiri, sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka bersama. Tazkirah ini tidak hanya menyuntik nilai kerohanian kepada hadirin tetapi juga memperkukuhkan semangat persaudaraan di kalangan masyarakat setempat. Semoga setiap pengajaran yang disampaikan dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.









