Majlis Ambang Ramadan di Masjid Kg Rampayan, Menggatal
Kota Kinabalu: 8 Februari 2025
Laporan Hajimin H. Maslin
PERKIS Bahagian Kota Kinabalu dengan kerjasama Masjid An-Nur Kampung Rampayan, Manggatal telah mengadakan sambutan Majlis Ambang Ramadan, pada 8 Februari 2025. Majlis ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan bulan Ramadan serta memberikan panduan persiapan dalam menyambut bulan yang penuh berkat ini.Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Ts Haji Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia merangkap Ahli Parlimen P171 Sepanggar yang diwakili oleh YBhg Ustaz Datuk Hj Jalidar Abdul Rahim, Ketua PERKIS Bahagian Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau menegaskan betapa pentingnya pendidikan rohani dan agama sebagai asas pembinaan masyarakat yang berakhlak mulia. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut.
Ceramah utama pada majlis ini disampaikan oleh Datuk Ustaz Haji Abdul Manap bin Lakariba, Mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah yang kini sebagai Pendakwah Bebas. Beliau menekankan keutamaan dan rahmat bulan Ramadan serta persiapan mental dan rohani yang perlu dilakukan oleh umat Islam. Beliau juga mengingatkan tentang amalan-amalan yang disarankan sepanjang bulan Ramadan dan kepentingan menjaga akhlak serta hubungan sosial.Majlis turut dihadiri oleh AJK PERKIS Bahagian Kota Kinabalu dana AJK Masjid An-Nur Manggatal, yang mana kehadiran mereka menambahkan lagi kemeriahan dan keberkatan majlis tersebut.
Objektif utama majlis ini adalah untuk memberi pencerahan dan inspirasi kepada masyarakat setempat dalam menyambut bulan Ramadan dengan penuh kesungguhan dan keinsafan. Majlis ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pada acara kemuncak majlis, PERKIS Bahagian Kota Kinabalu telah menyampaikan bingkisan berupa bahan-bahan makanan kepada 25 orang ibu tunggal dan wang tunai kepada 25 orang anak yatim.
Dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat, majlis ambang Ramadan ini berjaya mencapai matlamatnya dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk kebaikan bersama.
Ustaz Datuk Hj Jalidar, menyampaikan bingkisan bahan makanan kepada 25 orang ibu tunggal dan wang tunai kepada 25 orang anak yatim









